27 May
PENGOLAHAN ISI

1) TEKNIK IKTHH

Teknik ini membantu menjadikan karangan pelajar panjang dan memenuhi arahan soalan. Pelajar tidak akan membuang masa memikirkan perkara yang hendak ditulis. Bukan itu sahaja, hala tuju karangan lebih jelas dan tidak terkeluar daripada tajuk. Teknik ini juga menjadikan perenggan lebih seimbang dan sekata. Selain itu, teknik ini meliputi komponen karangan yang lengkap, iaitu mempunyai pendahuluan, perenggan isi yang jelas, dan kesimpulan.

a) Pendahuluan


Perenggan pendahuluan memperkenalkan tajuk karangan kepada pembaca. Maknanya, dalam perenggan ini belum terdapat sebarang isi, tetapi menyatakan hal yang berkait rapat dengannya. Pendahuluan boleh dibina dengan tiga hingga lima ayat. Karangan bermula dengan ayat pengenalan. Satu ayat pengenalan dikira sudah memadai. Ayat ini akan membawa pembaca untuk memahami tajuk dan isi secara umum. Perkara ini diikuti oleh dua atau tiga ayat huraian, yang merupakan ayat yang menyokong atau menghuraikan kenyataan dalam ayat pengenalan. Perenggan ini diakhiri oleh satu ayat fokus, yang membawa pembaca secara tegas kepada tujuan atau arah karangan, iaitu persoalan yang hendak dibincangkan dalam bahagian isi nanti.

Teknik IKTHH boleh digunakan supaya penulisan pendahuluan karangan ditulis dengan lebih tersusun.


Pendahuluan
I = Isu
K = Kesan isu
T = Tindakan umum untuk menangani isu
= Hasil tindakan
H = Hubung kait dengan soalan
 

Contoh ayat pendahuluan

(1) Akhir-akhir ini didapati bahawa kualiti air semakin terancam. (2) Banyak kes pencemaran air dilaporkan berlaku di sana-sini yang sangat membimbangkan kita. (3) Bukan sahaja air sungai atau laut yang tercemar, malah sekarang melibatkan air yang diproses di loji pembersihan. (4) Fenomena ini akan mengancam kesihatan dan keselamatan sesiapa yang menggunakannya. (5) Masalah ini terjadi adalah disebabkan oleh sikap anggota masyarakat sendiri yang tidak memberikan perhatian terhadap kebersihan sumber alam tersebut.

Dalam perenggan di atas, ayat (1) ialah ayat pengenalan, manakala ayat (2) hingga ayat (4) ialah ayat huraian. Ayat (5) pula merupakan ayat fokus, yang memberikan bayangan paling dekat terhadap inti tajuk, "sikap masyarakat merupakan penyebab pencemaran air".


b) Perenggan isi


Jumlah perenggan isi bergantung kepada jumlah isi utama. Satu isi utama dihuraikan dalam satu perenggan supaya karangan lebih kemas dan memudahkan pemeriksa mengenal pasti isi utama dan isi sampingan. Penyusunan isi utama pula mengikut kepentingan, iaitu yang lebih penting atau dapat dihuraikan dengan jelas hendaklah didahulukan.

     Setiap perenggan isi boleh dihuraikan dengan empat atau lima ayat. Perenggan isi dimulakan dengan satu ayat topik, iaitu ayat yang menyatakan isi utama. Bagi pelajar yang sudah cekap mengarang, ayat topik boleh juga diletakkan di tengah atau bahagian akhir perenggan. Tetapi, untuk memudahkan pelajar membuat huraian, lebih baik diletakkan pada awal perenggan. Perkara ini diikuti oleh dua hingga empat ayat huraian. Ayat ini mengandungi isi sampingan atau sokongan kepada ayat topik, dan kadangkala termasuk contoh yang difikirkan sesuai.

Isi

T = Ayat Topik (terdiri daripada DUA Frasa
H = Huraian topik
C= Contoh
P = Penegasan

Contoh perenggan penulisan isi

(1) Satu daripada sikap sebilangan anggota masyarakat kita adalah tidak mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari. (2) Mereka tidak suka kepada sampah-sarap, tetapi mereka mengambil mudah urusan membuang sampah. (3) Dengan sikap ini mereka menjadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tong sampah, sebagaimana yang lazim berlaku di perkampungan setinggan. (4) Hal ini bukan sahaja menyebabkan air sungai atau tasik tercemar, tetapi juga memudahkan terjadinya banjir kilat kerana laluan air tersekat ketika hujan.

Ayat (1) merupakan ayat topik, iaitu yang menyatakan isi utamanya, "sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan". Ayat-ayat berikutnya merupakan ayat huraian, iaitu ayat (2) dan (3) memberikan contoh sikap yang dinyatakan, manakala ayat (4) menerangkan akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

c) Kesimpulan


Perenggan ini berfungsi membuat rumusan secara keseluruhan segala idea yang telah dicurahkan dalam perenggan-perenggan sebelumnya. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan menggunakan tiga hingga lima ayat. Perenggan ini tidak seharusnya mengulang kembali apa yang telah dituliskan dalam perenggan pendahuluan. Beberapa cara menulis penutup yang mudah adalah seperti menyatakan semula, membuat ramalan dan membuat syor. Walau bagaimanapun, pemilihan teknik penutup perlulah sesuai dengan jenis karangan.

Kesimpulan


R = Rumusan keseluruhan
C = Cadangan umum
A = Amaran peringatan yang bakal berlaku
H = Harapan penulis terhadap isu.


Menyatakan semula

Melalui teknik ini pelajar boleh menyebut atau mengulang kembali semua hujah yang dikemukakan sebagai isi utama secara ringkas. Contohnya:

(1) Sebenarnya banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak tertentu untuk membanteras pencemaran air. (2) Namun usaha tersebut tidak banyak membantu kerana sikap masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan persekitaran. (3) Projek pembangunan yang rancak dijalankan di sana-sini tanpa mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar pula menyebabkan berlakunya hakisan tanah yang teruk yang mampu menjejaskan kualiti air di sungai atau tasik, dan keadaan tersebut lebih teruk apabila kebanyakan ahli masyarakat yang tidak suka mematuhi peraturan yang digubal oleh pihak berkuasa.

Perenggan penutup di atas memuatkan tiga isi utama.

Membuat ramalan

Dengan penutup cara ini, pelajar menghuraikan kemungkinan yang akan berlaku.

Contoh

Sikap sedemikian jika dibiarkan berterusan boleh mengakibatkan kesan yang serius. Pelbagai jenis penyakit bawaan air yang sukar dikawal akan merebak dengan cepat, dan menjejaskan kesihatan penduduk. Selain itu, hal ini akan membabitkan peruntukan kewangan yang tinggi, bukan sahaja untuk mengubati pelbagai penyakit tersebut, tetapi juga untuk memulihkan sungai, tasik atau laut yang tercemar.

Dalam perenggan penutup tersebut, dua ramalan dibuat, iaitu dalam dua ayat terakhir.

Memberikan syor

Melalui teknik ini pelajar menutup karangan dengan memberikan cadangan yang dikira munasabah. Dua cadangan dianggap mencukupi. Walau bagaimanapun, teknik ini tidak sesuai dengan karangan yang sudah meminta langkah atau cara untuk menyelesaikan sesuatu isu. Hal ini kerana pelajar telah menyatakannya dalam perenggan isi, walaupun berlainan. Contoh penutup jenis ini adalah sebagaimana di bawah ini:

Contoh

Jelaslah bahawa sikap masyarakat menyebabkan pencemaran air berleluasa di mana-mana sahaja. Untuk mengatasinya, kesedaran masyarakat terhadap kebersihan perlu dipupuk. Kempen, ceramah dan pertandingan perlu dijalankan dari semasa ke semasa sehingga masyarakat dapat mendisiplinkan diri dalam aspek kebersihan. Selain itu, peraturan yang sesuai perlu digubal, ditambah atau diubah suai. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan yang tegas wajib dilaksanakan untuk memastikan segala program mencapai matlamatnya.


2) TEKNIK IMBaKUP

Teknik ini merupakan antara teknik yang boleh memudahkan penghasilan karangan penulisan yang cemerlang. Bagi teknik ini, pelajar perlu menyoal diri sendiri bagi mendapatkan soalan yang diperlukan. Namun begitu, soalan yang ditanya tidak perlu dimasukkan ke dalam penulisan, sebaliknya jawapan sahaja yang dimasukkan ke dalam penulisan karangan.


I = Isi (apa) - (1 ayat)

M = Mengapa - (3 - 4 ayat)

Ba = Bagaimana (contoh) - (2 - 3 ayat)

K = Kesan contoh yang menyokong isi - ( 2 - 3 ayat)

U = Ungkapan menarik (peribahasa)

P = Penegas (1 ayat)





Contoh perenggan isi yang lengkap

Peranan ibu bapa yang signifikan untuk menangani gejala sosial pada hari ini ialah ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang teguh kepada anak-anak. (ISI). Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Dengan adanya didikan agama juga anak-anak dapat membezakan permata dengan batu kelikir kerana mereka telah menjadikan agama sebagai panduan hidup yang paling afdal daripada terjerumus ke lembah kehinaan seperti vandalisme, gengsterisme, merempit, ponteng sekolah dan sebagainya. Tanpa agama, kehidupan seseorang itu akan menjadi terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda. (MENGAPA). Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, mereka akan sentiasa melakukan amal makruf nahi mungkar. Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat kerana solat itu tiang agama yang mampu mencegah kemungkaran. (BAGAIMANA). Sebagai kesan, anak-anak yang memiliki didikan agama yang mantap akan berasa takut akan balasan Tuhan lalu tidak terlibat dalam gejala sosial yang akan merosakkan masa depan mereka. Secara implikasinya, usaha kerajaan untuk modal insan yang beriman dan berakhlak mulia dapat dilahirkan serta gejala sosial dapat ditangani. (KESAN).  Benarlah kata Albert Eistein, " Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh." (UNGKAPAN MENARIK). Izharlah bahawa didikan agama yang mantap merupakan antara wahana yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meuncing. (PENEGAS).


Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING