26 May
TEKNIK PENULISAN ISI KARANGAN

Karangan boleh dianggap sebagai diri penulisnya. Tanggapan dibuat demikian kerana unsur-unsur yang membina karangan – perkataan, frasa, klausa dan ayat, idea atau isi serta pengetahuan atau pengalaman – berpunca sepenuhnya daripada penulisnya. Sekiranya penulis tidak menguasai semua unsur tersebut, karangan berkenaan tidak akan sempurna.

      Karangan juga persis manusia, perlu mempunyai kepala, bahagian tengah dan anggota bawah untuk menjadi manusia yang lengkap fizikalnya. Hal ini demikian kerana setiap karangan perlu mempunyai pendahuluan, isi dan penutup. Anggota-anggota badan manusia itu pula perlu berada di tempatnya yang sebenar atau biasa. Demikianlah juga halnya dengan karangan. Bahagian-bahagian karangan berkenaan didirikan oleh perenggan.

Didapati bahawa kegagalan calon peperiksaan di peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapat markah yang tinggi banyak disumbangkan oleh kertas karangan. Pelajar mungkin mempunyai idea, tetapi mempunyai masalah untuk menyampaikan idea tersebut. Oleh yang demikian, pelajar sebenarnya menghadapi masalah untuk mengarang. Masalah ini timbul disebabkan pelajar tidak menguasai suatu cara asas atau kemahiran untuk menulis karangan. Pelajar sebaik-baiknya ditunjukkan langkah atau teknik menulis setiap perenggan supaya mereka dapat menulis karangan dengan berkesan.


Mengetahui Kehendak Karangan

Setelah memilih tajuk karangan yang dirasakan dapat dikuasai isi atau faktanya dengan baik, pelajar perlu mengetahui idea pusat karangan itu. Idea pusat ialah perkara atau isu yang ingin dibincangkan, atau idea keseluruhan, atau tema. Dalam erti kata lain, pelajar perlu mengetahui kunci, iaitu kehendak sesuatu tajuk. Perkara ini bertujuan untuk memastikan pelajar menulis isi yang tepat di samping mengelakkan pelajar daripada terpesong isi atau terkeluar daripada tajuk.


Membina Perenggan

Setiap karangan harus mempunyai perenggan-perenggan tertentu. Untuk pendahuluan dan penutup, masing-masing dibina oleh satu perenggan. Untuk isi, jumlah perenggan bergantung kepada jumlah isi utama atau isi besar. Jumlah isi utama yang dianggap memadai untuk sesebuah karangan ialah tiga atau empat. Satu perenggan hendaklah dibangunkan oleh satu isi utama sahaja. Sekiranya terdapat tiga isi utama, maka jumlah perenggan untuk isi ialah tiga juga. Karangan tersebut biasanya mempunyai lima atau enam perenggan. Pembinaan perenggan yang tersusun menjadikan karangan berkenaan menarik untuk dibaca, malah menggambarkan bahawa pelajar menguasai teknik penulisan yang berkesan.

     Pelajar harus menentukan jumlah ayat yang perlu ditulis. Untuk peringkat PT3, sebaik-baiknya tiga atau empat ayat, manakala untuk SPM, seelok-eloknya dibina lima ayat. Perkara ini penting untuk mengimbangkan huraian dan juga jumlah perkataan bagi keseluruhan karangan.


Unsur-unsur Lain yang Penting

Kebanyakan pelajar, khususnya golongan pelajar yang lemah, tidak menitikberatkan hal-hal teknikal dan unsur tatabahasa tertentu. Selain teknik menulis, hal-hal ini juga sangat perlu diberikan perhatian untuk menghasilkan karangan yang berkesan.

Mematuhi jenis karangan dan format

Sesetengah jenis karangan memerlukan pendekatan yang berlainan. Karangan perbincangan perlu diolah secara membincangkan sesuatu isu, seperti tajuk contoh di atas, berbeza dengan karangan berbentuk cerita atau pengalaman. Manakala karangan yang berformat – surat kiriman, syarahan, ceramah, perbahasan, wawancara dan seumpamanya – perlu mematuhi format yang telah ditetapkan.

Bahasa yang berkesan

Bahasa yang tidak berkesan akan melemahkan karangan walaupun mempunyai isi yang kuat. Unsur utama bahasa yang perlu diberikan perhatian ialah pembinaan ayat serta pemilihan frasa dan perkataan yang sesuai. Sebaik-baiknya karangan dibina dengan ayat yang pelbagai jenis atau struktur, iaitu campuran ayat tunggal dengan ayat majmuk, ayat songsang, ayat biasa, ayat aktif, ayat pasif dan ayat-ayat lain yang sesuai. Frasa yang dibina perlu mengikut Hukum D-M. Perkataan yang dipilih perlu tepat atau jelas untuk menggambarkan sesuatu, misalnya perlu dibezakan di antara ramai dengan banyak. Imbuhan juga harus digunakan dengan berhati-hati supaya sesuai dengan kata dasar dan maksud yang ingin disampaikan.

Ejaan dan tanda baca

Kebanyakan pelajar mengabaikan aspek ini. Ejaan perlu diberikan perhatian kerana setiap kesalahan ejaan akan dipotong setengah markah sehingga tidak lebih daripada lima markah untuk keseluruhan karangan. Perkara ini termasuklah penggunaan tanda sempang (-) pada kata ganda. Namun begitu, markah tidak dipotong untuk kesalahan berulang. Ramai pelajar yang tidak menggunakan tanda koma (,), malah tidak juga menurunkan tanda noktah (.) di akhir ayat. Tanda-tanda bacaan yang lain seperti noktah bertindih (:), noktah berkoma (;), dan sempang (-) pula tidak dipedulikan langsung. Tanda-tanda ini jika digunakan di tempat yang tidak sesuai akan menyebabkan ayat yang dibina membawa maksud yang lain, atau salah sama sekali.

     Jelasnya, menulis karangan seperti kegiatan lain juga bukanlah kerja yang rumit sekiranya kita memiliki tekniknya. Teknik penulisan boleh diubah suai mengikut kemampuan diri sendiri. Pelajar perlu membiasakan diri dengan teknik tersebut. Pembiasaan boleh dilakukan dengan sentiasa mempraktikkannya, iaitu dengan cara rajin menulis karangan.


Kaedah Menulis Perenggan Isi Karangan 

Setiap perenggan mesti mempunyai satu isi sahaja. Setiap perenggan yang berkualiti mesti disertai dengan isi penting, huraian, dan contoh yang sesuai. Terdapat 3 jenis perenggan bagi membina isi iaitu: 


a) Perenggan deduktif 

Perenggan jenis ini mendahulukan isi penting, huraian, dan contoh.


Contoh perenggan yang menggunakan teknik deduktif

Salah satu sebab berlaku masalah ponteng dalam kalangan pelajar ialah kurangnya perhatian ibu bapa terhadap anak mereka.(isi penting) Hal ini demikian kerana ibu bapa sibuk dengan tugas harian mereka sehingga tidak ada masa untuk melihat pelajaran anak mereka. Kesannya, anak mereka menjadi bosan dan akhirnya terlibat dalam masalah ponteng sekolah.(huraian isi) Ibu bapa yang keluar bekerja pada awal pagi menyangka anak mereka pergi ke sekolah, tetapi terperanjat apabila diberitahu oleh guru bahawa anak mereka tidak hadir ke sekolah.(contoh)


b) Perenggan induktif

Perenggan ini mesti mendahulukan huraian tentang isi, seterusnya diikuti dengan contoh-contoh dan isi penting pada akhir perenggan. 


Contoh perenggan yang menggunakan teknik induktif

Ibu bapa sibuk dengan tugas harian mereka sehinggga tidak ada masa untuk melihat pelajaran sekolah anak mereka. Kesannya, anak akan menjadi bosan dan akhirnya terlibat dalam masalah ponteng sekolah.(huraian isi) Ibu bapa yang keluar bekerja pada awal pagi tidak menyangka anak mereka tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari. (contoh) Kurangnya perhatian ibu bapa terhadap anak-anak mereka inilah yang menyebabkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa.(isi penting)


c) Perenggan gabungan deduktif dan induktif  

Kaedah ini pula membenarkan isi penting wujud pada awal perenggan dan akhir perenggan. Huraian dan contoh-contoh wujud antara kedua-dua isi penting itu. 


Contoh perenggan yang menggunakan teknik deduktif dan induktif

Salah satu sebab berlakunya masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar kerana kurangnya perhatian ibu bapa terhadap anak mereka.(isi penting) Hal ini demikian kerana ibu bapa sibuk dengan tugas harian mereka sehingga tidak ada masa untuk memantau pelajaran anak mereka.(huraian isi) Ibu bapa yang keluar bekerja pada awal pagi menyangka anak mereka rajin ke sekolah tetapi amat terperanjat apabila diberitahu bahawa anak mereka tidak hadir ke sekolah selama beberapa hari.(contoh) Hal ini jelas menunjukkan bahawa masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar berlaku kerana kurangnya perhatian ibu bapa terhadap anak mereka.(isi penting)

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING